Dua pelajar terbabit insiden pergaduhan digantung persekolahan


KOTA BHARU: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, di sini yang terbabit dalam insiden pergaduhan Khamis lalu digantung persekolahan selama dua minggu bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPN), Jaafar Ismail, berkata tindakan itu adalah prosedur biasa yang dilaksanakan dalam kes disiplin membabitkan pelajar.

"Insiden ini sudah menjadi kes polis dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Dua pelajar dari Tingkatan Empat dan Tiga itu (termasuk mangsa) digantung sekolah selama dua minggu bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pelajar lelaki Aiman Hazim Zulkeflee, 15, retak tulang leher selepas dipercayai ditendang oleh seorang pelajar senior. Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa ditendang sebanyak dua kali di leher dan terjatuh, sebelum ditendang pula sekali lagi di dagu hingga pengsan.

Dia kemudian dibawa pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), namun dilapor stabil. Aiman Hazim kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) manakala seorang lagi sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Bharu, pagi tadi.

Jaafar berkata JPN sentiasa memantau situasi sekolah terutamanya membabitkan bilangan murid yang ramai. Katanya lagi dalam kes seperti itu akan mendatangkan gangguan kepada murid terbabit sekali gus menjejaskan masa depan mereka.

"Kami akan usahakan permuafakatan di peringkat sekolah dan dalam masa yang sama JPN juga ada 'Smart Support Team' yang menyediakan khidmat kaunseling," katanya.

Pengetua sekolah terbabit, Mukhter Mahmod yang turut menghadiri sidang media itu berkata insiden pergaduhan seperti itu belum pernah berlaku di sekolah itu dan ia menjadi iktibar kepada semua warga sekolah terbabit.

Subscribe Me

Subscribe via RSS Feed If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.

Comment