Home » » Disiplin pelajar - Berlembut bukan lagi jalan penyelesaian?

Disiplin pelajar - Berlembut bukan lagi jalan penyelesaian?



Oleh ZALINA YAHAYA

`DEMAM' masalah disiplin pelajar seolah-olah berlaku secara berkala - tiga tahun sekali. Jika anda masih ingat, masalah ini mendapat perhatian serius pada 1997 dan menjadi polemik hangat ketika itu.

Gejala gangsterisme dikatakan bersarang di beberapa sekolah menengah di negara ini.

Bukan calang-calang jenayah yang dilakukan oleh pelajar. Ia melibatkan pembunuhan, pengedaran dan penagihan dadah, rogol, memukul guru, menonton video lucah dan sebagainya.

Seriusnya masalah ini telah mendorong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia membiayai Kementerian Pendidikan menghasilkan laporan `Kajian Gangsterisme Di Sekolah Menengah Harian'.

Kajian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan itu menyiapkan laporannya pada 1997.

Kajian melibatkan 329 buah sekolah mengikut zon dan melibatkan kos pembiayaan penyelidikan RM41,782.40.

Tiada cadangan luar biasa yang dikemukakan oleh laporan ini bagi menyelesaikan masalah gangsterisme di sekolah selain mengingatkan kembali betapa perlunya kita kembali berpegang kepada peraturan-peraturan yang sedia ada.

Seperti biasa, penglibatan masyarakat, ibu bapa dan guru dilihat sebagai instrumen penting bagi mengatasi masalah ini daripada terus merebak.

Semenjak tahun 2000 lagi, masalah gangsterisme, samseng dan disiplin pelajar dibangkitkan semula.

Menurut kajian, satu pertiga daripada bilangan sekolah harian di negara ini terdedah kepada bahaya kegiatan samseng atau gangsterisme.

Ketika itu, cadangan paling popular selain cadangan-cadangan lain yang lebih bersifat retorik ialah memberikan kuasa polis tambahan atau Auxilliary Police Power (AP) kepada guru.

Mengikut cadangan itu, guru disiplin diberi kuasa polis tambahan (AP) mengikut Seksyen 8, Akta Polis 1967, iaitu mereka yang memiliki kuasa AP mempunyai bidang kuasa yang sama seperti anggota polis lain.

Cadangan itu bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan kerana tiadanya sokongan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

AP dikhuatiri menghakis fungsi sekolah sebagai institusi yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk pelajar menjadi manusia yang berguna.

Kehadiran `polis' walaupun hanya dalam bentuk kuasa dilihat sebagai satu pendekatan menghukum dan dikhuatiri membawa impak psikologi negatif kepada pelajar yang dikenakan tindakan.

Kerana kuasa polis yang diberikan kepada seseorang guru, masyarakat akan lebih melihat seseorang pelajar itu `dihukum polis' dan bukan dihukum guru.

Ini membawa impak psikologi yang negatif kepada seseorang pelajar.

Bagaimanapun tiadanya unsur-unsur `menghukum' ini dilihat sebagai menjadi punca kepada berulangnya masalah ini tahun ini.

Kita terlalu berlembut.

Unsur-unsur mendidik seolah-olah tidak berkesan lagi dalam berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah.

Buktinya, tahun ini, sekali lagi, masalah disiplin pelajar menjadi tumpuan.

Kes di Sekolah Menengah Teknik di Batu Pahat menjadi pencetus kepada beberapa kes-kes serius yang berlaku selepas itu.

Lebih membimbangkan, kes-kes yang dilaporkan tahun ini berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) yang selama ini menjadi sanjungan dan dihormati masyarakat sebagai sekolah untuk pelajar terpilih.

Kejadian di Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) Ipoh dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) benar-benar mencemar imej sekolah berasrama penuh di negara ini.

Seperti sebelum ini, pihak Kementerian Pendidikan khususnya lebih melihat perkara masalah ini sengaja dibesar-besarkan oleh media walaupun pada masa yang sama kementerian tersebut mengakui 76,300 pelajar terbabit dengan masalah disiplin.

Mungkin apabila dilihat dalam bentuk peratus iaitu kira-kira hanya 1.09 peratus berbanding tujuh juta pelajar di negara ini, Kementerian Pendidikan melihatnya sebagai tidak serius.

Mungkinkah kita perlu nekad untuk menggunakan AP bagi membendung masalah ini daripada terus berulang.

Melihatkan kepada tahap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar ini, AP dirasakan sangat perlu kerana berlembut nampaknya bukan lagi pendekatan terbaik.

Bagaimanapun, bagi golongan pendidik dan mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi persekolahan tidak bersetuju dengan pendekatan enforcement ini.

Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azizan Asmuni yang melihat AP sebagai satu pendekatan enforcement berkata, adalah lebih sesuai pendekatan mendidik digunakan dalam menangani masalah ini.

Bagi beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Seri Petaling berkata, adalah lebih baik tumpuan sekarang diberikan kepada perubahan sikap.

Perubahan sikap itu pula bagi Dr. Azizan bukan sahaja terhadap pelajar, tetapi juga semua pihak.
Bagi pelajar, mereka perlu sentiasa dididik dengan nilai-nilai murni dan disedarkan betapa perlunya mereka menghindari gejala-gejala yang tidak sihat.

Selain itu bagi Dr. Azizan, tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar ini tidak harusnya dibebankan di bahu guru disiplin atau guru kaunseling semata-mata.

Jika kita lihat persekitaran sekolah kini, apa yang dibimbangi oleh Dr. Azizan ini ada betulnya.
Wujudnya jawatan khas guru kaunseling yang ditugaskan sepenuh masa untuk menguruskan hal-hal ehwal pelajar ini seolah-olah mewujudkan tembok pemisah antara guru biasa dengan guru kaunseling.

Hampir semua sekolah mempunyai guru kaunseling yang mempunyai bilik khas dan tidak dibebankan dengan tugas mengajar.

Mereka mempunyai kelulusan khas dalam bidang kaunseling dan psikologi manusia.
Keadaan ini mungkin mewujudkan satu situasi di mana guru-guru biasa akan menganggap, pelajar yang bermasalah bukan di bawah tanggungjawab mereka.

Serah sahaja kepada guru kaunseling.

``Seharusnya semua guru di sekolah perlu bekerjasama memantau pelajarnya terutamanya pelajar-pelajar yang dikesan bermasalah dan bukannya dilepaskan kepada guru kaunseling atau guru disiplin semata-mata,'' kata Dr. Azizan.

Tanggapan masalah disiplin pelajar hanya tugas guru kaunseling dan guru disiplin perlu dikikis.
Semangat guru yang tugasnya membentuk keperibadian murni di kalangan pelajarnya tidak harus dibatasi kepada apa mata pelajaran yang diajarnya.

Pendidikan moral dan nilai-nilai murni bukan hanya tugas guru kaunseling dan guru Pendidikan Moral. Ia tugas hakiki semua yang bergelar guru.

Ini penting jika sekolah mahu terus mempertahankan peranan dan fungsinya sebagai sebuah institusi mendidik.

Ini dipersetujui oleh Presiden Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bina yang tidak mahu AP diberikan kepada guru.

Beliau mahu terus melihat sekolah perlu mempertahankan peranannya sebagai institusi mendidik.

``Tugas guru ialah mendidik dan membentuk disiplin pelajar, dan bukannya membuat rondaan mengawal pelajar.

``Lagipun, sekolah sudah mempunyai kerjasama dengan pihak polis melalui program sekolah angkat. Kita tidak memerlukan AP,'' katanya.

0 comments:

Post a Comment

Subscribe Me

Subscribe via RSS Feed If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.

Comment